Taubat Gabenor Zalim




Diceritakan bahawa pada masa hidup Sayyidah Nafisah, terdapat seorang gabenor zalim yang suka menyeksa rakyatnya tanpa alasan yang munasabah. Suatu hari dia telah memerintahkan kepada beberapa orang pegawainya agar menangkap seorang yang dikehendaki untuk diseksanya.

Mendengar dirinya akan ditangkap, orang yang dikehendaki itu lari ke rumah Sayyidah Nafisah untuk minta perlindungan dan jaminan. Bagaimanapun petugas gabenor dapat mengesannya. Orang yang dikehendaki itu, ketakutan apabila petugas gabenor datang untuk menangkapnya.

“Insya Allah setelah engkau menghadapnya, engkau akan dibebaskan. Pergilah jangan takut, semoga Allah akan menghijab kamu dari penglihatan orang-orang yang zalim,” kata Sayyidah Nafisah kepada orang yang akan dizalimi.

Maka pergilah lelaki itu bersama orang-orang gabenor yang zalim sehingga sampai ke istana. Para pengawal membawa lelaki itu ke hadapan gabenor yang sedang duduk di balai penghadapan.

“Mana orang yang saya suruh tangkap itu?” tanya gabenor kepada para pengawal.

“Yang berdiri di hadapanmu itulah,” jawab mereka.

“Mana? Aku tidak nampakpun,” kata gabenor kebingungan.

“Ini dia tuan, takkan tidak nampak,” kata mereka lagi.

“Sungguh aku tidak melihatnya,” kata si gabenor. “Pelik betul, apa yang terjadi dengan lelaki ini?”

Sebelum dibawa ke sini, lelaki tersebut telah pergi ke rumah Sayyidah Nafisah dan memohon doa. Lalu Sayyidah Nafisah berdoa: “Semoga Allah menghijab kamu dari penglihatan orang-orang yang zalim.” Kata para petugas memberikan keterangan.

“Masya Allah kalau begitu aku memang zalim. Apakan terjadi kalau semua orang yang teraniaya dihijab oleh Allah dari penglihatanku?” kata gabenor. “Ya Allah, ya Tuhanku! Sesungguhnya aku bertaubat kepada-Mu.”

Gabenor kelihatan sangat menyesal dan takut, lalu dibukanya tutup kepalanya. Kerana dia telah betul-betul bertaubat, tiba-tiba dia melihat lelaki yang dikehendakinya berdiri tegap di hadapannya. Dia meminta maaf dan mengucup kepala lelaki itu. Lalu dikeluarkannya beberapa helai baju yang bermutu beserta sejumlah wang dan diberikannya kepada lelaki itu sebagai rasa syukurnya. Selepas itu, gabenor turut mengeluarkan sejumlah hartanya lagi dan disedekahkannya kepada fakir miskin. Dia juga mengantar utusan kepada Sayyidah Nafisah dengan membawa wang seratus ribu dirham untuk diberikan kepada beliau.

Wang itu diterima oleh Sayyidah Nafisah lalu dibukanya ketika itu dan dibahagi-bahagikan kepada orang lain yang memerlukannya sehingga habis.

“Wahai Sayyidah Nafisah! Seandainya engkau tinggalkan sedikit wang untuk membeli makanan berbuka puasa kita, kan baik,” kata perempuan-perempuan sufi yang ada di sekitarnya.

“Ambillah benang yang telah kupintal dengan tanganku sendiri dan jual. Hasilnya belikan makanan untuk buka kita.” Kata Sayyidah.

Pergilah perempuan itu menjual benang hasil pintalan tangan Sayyidah Nafisah yang mulia itu, dan hasilnya dibelikan makanan untuk berbuka puasa mereka. Dengan demikian, Sayyidah Nafisah tidak mengambil sedikitpun wang yang diberikan oleh gabenor.

Moga kisah ini dapat memberi pengajaran kepada semua. InsyaAllah.

-Dipetik drpd laman ustazazhar.com/v1

0 Comments:

Post a Comment




 

Blogger Template | Created by Adam Every