Kenyataan Media
Mursyidul Am PAS
22 Jun 2009


Setelah berbincang dari awal hingga akhir dalam perjumpaan khas yang diadakan di Pejabat Agung dalam semangat kekeluargaan menangani permasalahan dalam beberapa isu politik semasa yang dibesar-besarkan oleh media perdana. Kami akhirnya bersetuju sebulat suara melupakan perihal salah tanggapan yang berlaku di antara pimpinan atasan parti akibat daripada permainan politik murahan umno.



Kami bersama-sama dalam satu saff yang padu untuk terus bersama-sama memperjuangkan keazaman PAS bagi mendaulatkan Islam di persada tanahair.


Kami juga bersetuju sebulat suara bahawa polemik Kerajaan Perpaduan diberhentikan serta merta sepertimana telah diputuskan oleh Presiden PAS bersama pimpinan Pakatan Rakyat dalam satu kenyataan bersama di Bangunan Parlimen jam 2 30 petang tadi yang menolak sepenuhnya idea kerajaan perpaduan.


Oleh yang demikian, selaras dengan itu, saya selaku Mursyidul Am PAS menarik balik segala kenyataan saya terhadap YB Ustaz Nasharudin Mat Isa, Timbalan Presiden PAS dan dengan itu, ianya tidak berbangkit lagi.


YAB Dato’ Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat


Lebih lanjut, sila layari http://www.pas.org.my/

Pupuklah Ukhuwah


Bismillahirrahmaanirrohim....

Satu demi satu ujian @ bala menimpa Mesir. Dalam sibuk menangani virus H1N1 atau selsema babi, kini, negara yang mempunyai maqam Firaun yang sentiasa dilawati oleh manusia dan jin ini sedang diancam wabak TAUN.

Buat masa ini,wabak ini yang dikenali Taun Libya masih belum memasuki Mesir. Namun begitu, wabak ini telah menyebabkan satu kes kematian di Tabrak,Libya yang terletak sempadan barat Mesir.

Kementerian Kesihatan Mesir di bawah Menteri Dr. Hatim al-Jabali telah mengarahkan pemeriksaan kesihatan disempadan Libya-Mesir. Menurut beliau, Mesir setakat ini bebas dari bakteria penyebab Taun ini. Ianya hanya berlaku di sebuah perkampungan di selatan Tabrak,Libya berdekatan sempadan Mesir.

Taun Libya telah menyebabkan satu kematian, menjangkiti 12 orang yang mana 7 daripadanya telah stabil dan 4 org masih dirawat. Kesemuanya di Tabrak,Libya.

Satu jawatankuasa kecemasan telah dibentuk oleh Mesir yang diketuai oleh Dr. 'Adil Abu Zaid(pegawai Kesihatan Daerah Matruh).

p/s-Kpd mana-mana penganjur rehlah ke Matruh-Siwa, sila sentiasa rujuk kpd PMRAM untuk tahu qarar semasa dari Polis Mesir.


Al-Fatihah buat Allahyarham Syeikh Dr. Fathi Yakan (Sang murobbi agung).76 tahun kesempatan berkelana di dunia. (1933-13 Jun 2009). Dikebumikan di Tarablas, Lubnan. Moga Allah merahmati beliau.

......................................................................................................

Namanya akan mekar dihati para pejuang Allah di seluruh dunia. Beliau bukan orang yang memulakan perjuangan ini. Dan juga beliau bukan orang yang mengakhiri perjuangan ini. Perjuangan Islam ini pastinya akan mekar dan subur ke seluruh dunia suatu hari nanti. Allahu Akbar!!!




Oleh: Ustaz Termizi Mohd Din
Walaupun agak keletihan setelah mengikuti Muktamar PAS kali ke 55 yang berlangsung hampir 3 hari termasuk bertugas sebagai Unit Amal, namun hati merasa puas dan makin bersemangat. Ucapan sekalung tahniah kepada seluruh kepimpinan yang telah terpilih bagi menganggotai Ahli Jawatankuasa PAS Pusat bagi sesi 2009-2011.

Walaupun pelbagai kontroversi dan suasana yang negatif telah digembar-gemburkan oleh media, namun perjalanan Muktamar masih dapat ditangguhkan dalam keadaan damai serta harmoni.

Sepanjang berlangsungnya muktamar, agak sukar untuk saya mendengar perbahasan yang benar-benar berkualiti dan serasi dengan agenda Islam Memimpin Perubahan sebagaimana yang digagaskan oleh YB Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang dalam ucapan dasarnya. Hanya segelintir sahaja yang mampu untuk menarik perhatian perwakilan dan pemerhati dengan idea-idea yang bernas untuk memasarkan Islam kepada masyarakat.

Sebab itulah, Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat menegur perwakilan yang membuat perbahasan agar menyentuh soal bagaimana untuk menambahbaikkan PAS agar dapat mempromosikan Islam dan menyampaikan mesejnya kepada masyarakat secara lebih berkesan dalam ruang lingkup suasana politik semasa. Tuan Guru menegur ucapan yang disampaikan oleh perwakilan yang banyak bertumpu kepada memperkenalkan dan berkempen tentang PAS kepada pimpinan serta ahli PAS. Ia adalah perkara yang sepatutnya tidak berlaku dalam muktamar PAS yang agak terhad masanya.

RUNDINGAN DENGAN UMNO

Antara isu yang hangat diperkatakan sepanjang Muktamar ini adalah idea kerajaan perpaduan dan rundingan dengan UMNO yang dilontarkan oleh Tuan Guru Presiden. Selepas bermuktamar, masih lagi ia diperbincangkan sedangkan Tuan Guru Presiden telah memberikan penjelasan semasa ucapan penggulungan.
“Ustaz, apa pandangan tentang idea kerajaan perpaduan tu?” Saya juga ditanya tentang isu ini. Entahlah, mungkin si penyoal hendak mengenalpasti status saya, sama ada pro-muqabalah atau pro-pakatan rakyat (terpaksa menggunakan istilah ini waaupun saya tidak menggemarinya).

Saya menyoalnya kembali. “Sebelum saya menjawab, ingin saya bertanya adakah Islam membenarkan atau tidak? Kalau Islam membenarkan, kenapa saya ingin mengharamkannya?”

ANTARA HUKUM DAN PERASAAN

Memang tidak dinafikan, ramai yang merasa perit apabila mengenangkan pengalaman PAS bersama dengan UMNO pada tahun 1971 dan 1972. PAS akhirnya ditendang keluar oleh UMNO pada tahun 1977 dengan cara yang tidak beradab sekali. Perasaan benci kepada UMNO semakin membuak-buak lagi apabila sejarah mencatatkan kekejaman UMNO yang pernah menzalimi ulamak-ulamak, aktivis dan pejuang PAS selama ini.

Namun, janganlah pengalaman-pengalaman ini menjadikan kita meletakkan UMNO lebih teruk daripada kafir harbi sehingga tertutup semua ruang dakwah terhadap mereka. Janganlah kita mengkategorikan mereka di satu tempat yang kita tidak perlu jejaki lagi. Lupakah kita tentang sifat yang perlu ada kepada seorang daie untuk menyampaikan dakwah kepada mad’u?

Saya tertarik dengan kata-kata Ustaz Nasharuddin Tantawi, Ketua Pemuda PAS dalam ucapan penutupnya agar sifat benci kita kepada UMNO tidak menutup ruang untuk kita menyampaikan mesej Islam kepada mereka. “Jangan membina tembok pemisah untuk dakwah kita sampai kepada mereka. Kita adalah daie”. Katanya dengan penuh bersemangat disambut dengan laungan takbir daripada perwakilan.

Perasaan terhadap UMNO tidak boleh diletakkan di hadapan. Letakkanlah al-Quran dan as-Sunnah sebagai kemudi untuk memandu kita dalam membuat penghakiman.

Rasulullah SAW mempunyai pengalaman yang jauh lebih buruk dengan kafir Quraisy Mekah berbanding pengalaman PAS bersama UMNO. Namun, sewaktu membuka kota Mekah, Baginda SAW memaafkan dan membebaskan mereka tanpa sebarang hukuman.

Sabda Baginda SAW;
لا تثريب عليكم اليوم , يغفر الله لكم
”Tiada pembalasan ke atas kamu semua pada hari ini, Allah akan mengampunkan kamu” (Al-Amwal , Abu ‘Ubaiyd, 143 dengan sanad hasan tetapi Mursal)

Nabi diriwayatkan juga berkata ketika itu
نصبر ولا نعاقب
” Kami sabar dan tidak akan membalas ” (Riwayat Ahmad, 5/135 ; At-Trmidizi, 4/361 ; Sohih menurut al-Hakim dan disepakati az-Zahabi)

Akhirnya, dengan uslub dakwah Baginda, akhirnya menyebabkan kafir Quraisy Mekah memeluk Islam secara beramai-ramai.


SIKAP DOUBLE STANDARD

Saya agak hairan dengan sikap sesetengah pihak yang menuduh Tuan Guru Presiden dengan pelbagai bahasa yang tidak enak sewaktu beliau mengemukakan gagasan rundingan dengan UMNO. Namun, sekiranya perkara yang hampir sama digagaskan oleh pihak lain, mereka hanya mendiamkan diri. Bahkan menyokongnya.

Sebagai contoh, perbincangan YB Husam Musa dengan Chua Soi Lek tentang isu DUN Perak. Ia bukan sahaja tidak dipertikaikan bahkan disokong dengan sepenuh hati pula. Apakah perbincangan itu bukan muzakarah?

PAS Kelantan juga telah membenarkan YB Dato’ Ibrahim Ali untuk bertanding di Parlimen Pasir Mas dengan menggunakan tiket PAS. Siapa yang tidak kenal dengan Ibrahim Ali dan kerosakan yang telah dibinanya untuk menentang PAS sebelum ini? Dan kita telah sama-sama lihat kegagalan idea ini sekarang. Ibrahim Ali bukan sahaja mengkhianati amanah PAS, bahkan secara terus-terang mengkritik PAS dan Pakatan Rakyat. Mengapa tiada pihak yang mempersoalkan kegagalan ini?

WALA’ DAN TAAT
Dato’ Dr. Harun Din dalam ucapan penangguhan telah mengingatkan perwakilan tentang musuh-musuh kepada perjuangan PAS. Musuh-musuh ini senantiasa wujud sama ada di luar atau dalam Jemaah sendiri.

Oleh kerana itu, beliau berpesan kepada ahli PAS supaya akur dan wala’ kepada Presiden sebagai amir atau ketua kepada Jemaah yang kita dokongi ini.

Baginda SAW pernah berwasiat;
أُوْصِيْكُمْ بِتَقْوَى اللهِ عَزَّ وَ جَلَّ وَ السَّمْعِ وَ الطَّاعَةِ وَ إِنْ تََأَمَّرَ عَلَيْكُمْ عَبْدٌ فَإِنَّهُ مَنْ يَعِشْ مِنْكُمْ فَسَيَرَى اخْتِلافًا كَثِيْرًا فَعَلَيْكُمْ بِسُنَّتِي وَ سُنَّةِ الْخُلَفَاءِ الرَّاشِدِيْنَ اْلمَهْدِيِّيْنَ عَضُّوْا عَلَيْهَا بِالنَّوَاجِذِ وَ إِيَّاكُمْ وَ مُحْدَثََاتِ اْلأُمُوْرِ فَإِنَّ كُلَّ بِدْعَةٍ ضَلالَةٌ .
( رواه أبو داود و الترمذي و قال : حديث حسن صحيح )

“Aku berwasiat kepada kamu supaya bertaqwa kepada Allah Azza Wajalla , dengar dan taat sekalipun yang mengarah kamu hanyalah seorang hamba , maka sesungguhnya sesiapa yang masih hidup dikalangan kamu , ia akan berhadapan dengan konflik yang begitu hebat , dikala itu wajib ke atas kamu berpegang teguh dengan sunnahku dan sunnah khulafa’ Ar Rasyidin yang mendapat petunjuk. Genggamlah ia dengan geraham dengan seerat – eratnya dan waspadalah kamu terhadap perkara – perkara yang diada-adakan maka sesungguhnya semua perkara yang diada-adakan ( yang tidak terdapat dalam syariat ) adalah sesat .”

Jangan kita meletakkan perasaan di hadapan, sehingga mengenepikan al-Quran dan Sunnah, rasional serta akhlak sebagai ahli gerakan Islam. Seumpama seorang wanita yang mengharamkan poligami kerana perasaannya walaupun dibenarkan oleh al-Quran dan Sunnah. Kita semua tahu dan sedar hukumnya. Wallahu a’lam.

(Nota; Penulis adalah Ketua Lajnah Tarbiyah, Dewan Pemuda PAS Gombak Sesi 2009 - 2011. Tulisan-tulisan beliau boleh dibaca di blognya http://termizidin.wordpress.com)



Bimillaahirrahmaanirrahiiim.
Sempena muktamar Pas ke-55 (3-7 Jun) ini, mari kita sorot kembali petikan ucapan mantan YDP PAS(1983-1989), Tuan Hj. Yusuf Bin Hj. Abdullah ar-Rawa. Dalam ucapan dasar pada 10 April 1987 di bawah tajuk 'Ke Arah Tajdid Hadhari'.

"Jangan ada di antara kita yang cuba menjadikan PAS ini mujamma' al ilmu atau gerakan elit intelektual yang menapis dan memilih ahli-ahlinya sehingga tidak boleh terlibat di dalam PAS ini melainkan para ulama dan intelektual sahaja."

"Kita tidak dapat membenarkan anggota kita mempunyai berbagai-bagai pendekatan dan manhaj, kerana ini akan membawa perbezaan fikrah dan pendekatan yang membawa perselisihan. Ahli-ahli PAS yang juga menjadi anggota jamaah Islam yang lain sekiranya mereka hendak memegang apa-apa peranan di dalam PAS, tidaklah dibenarkan membawa trend atau aliran jamaah yang lain, yang mereka jadi ahlinya, ke dalam PAS",ujar beliau.

Info: Tuan Guru Hj Yusuf Rawa(lahir pada 6 Mei 1922) dipilih sebagai YDP PAS Pusat pada Muktamar Agung PAS,23 Oktober 1982, selepas YDP PAS yang terdahulu, Datuk Muhammad Asri Hj Muda mengumumkan perlepasan jawatan. Pada November 1987, beliau dilantik sebagai Mursyidul Am PAS yang pertama. Pada 31 Mac 1989, jawatan YDP PAS telah diamanahkan kepada Ustaz Hj Fadzil Mohd Noor(timb YDP), ekoran pengunduran diri Tuan Guru Hj Yusuf Rawa di atas sebab-sebab kesihatan. Tuan Hj Yusuf Rawa meninggal dunia pada 28 April 2000.

Sumber rujukan: PAS Kuasai Malaysia ?, Karangan Ibnu Hasyim, GG Edar, Januari 1993.


 

Blogger Template | Created by Adam Every