
Presiden Mesir, Husni Mubarak telah kehilangan cucu lelakinya, iaitu, Mohamed,12 tahun. Cucunya itu mati mengejut pada Isnin lepas,18 Mei. Menurut kenyataan rasmi, Mohamed meninggal dunia setelah 2 hari dalam keadaan kesihatan yang kritikal. Sumber lain menyatakan cucunya itu menghadapi masalah pendarahan otak pada hari sabtu dan diterbangkan ke Paris untuk rawatan rapi. Akhirnya, meninggal di sana. Dan di bawa pulang ke Mesir pada hari Selasa untuk dikebumikan.
(Gambar: Jamal Mubarak, Alaa Mubarak, Nazif PM Mesir)
Bapa Mohamed bernama Alaa,47 tahun, anak sulung Husni Mubarak.
al-Fatihah.
(Gambar: Sheikh al-Azhar, Said Tantawi)
Berita lanjut klik di sini.

Bismillahirrohmaanirrohim.
Birru walidain.
Ketika kecil, aku tinggal bersama opahku. Sering aku dibawa olehnya menziarahi moyang ku (moyang lelaki) yang sudah uzur. Moyang perempuan ku pula, juga uzur, tetapi boleh berjalan perlahan-lahan,.Walapun ada adik beradik Opahku yang tinggal di kiri-kanan rumah moyangku, tidak dijadikan alasan untuk Opahku meninggalkan tanggungjawab terhadap ayahnya yang sudah tua dan uzur.
Seperti biasa, reka bentuk rumah kampung ini, berasaskan kayu dan tinggi. Moyangku sudah sangat uzur. Tidak boleh berjalan atau pun berdiri. Opah datang membantu membersihkan moyangku. Opah bersihkan daripada kotoran dan najis. Bukan calang-calang orang boleh buat kerja itu.
Lantai kayu disebelah katil, telah direka khas bagi memudahkan air jatuh ke bawah rumah. (Rumah bandar tak boleh buat macam tu).
Bagi budak berusia 6 tahun ketika itu, aku sekadar melihat Opah mesra meyantuni ayahnya. Setelah selesai, disuapkan pula makanan ke mulut ayahya itu.
Alhamdulillah, Allah beri detik itu untuk aku ingati. Setahun selepas itu, moyangku sudah pulang ke rahmatullah. Pusaranya sering ku ziarahi ketika pulang ke kampung.
Ibu ku mencontohi opahku, dengan meyantuni moyang perempuan ku yang semakin uzur. Perkara yang sama dilakukan. Membersihkan pakaian dari najis dan sebagainya. Sama seperti mengendalikan bayi yang tidak punya kudrat untuk mengurus diri. Itulah kita manusia. Itu semua kuasa Allah Ta'ala. 4 tahun kemudian, moyang perempuan ku itu sampang ke penghujung hayatnya. Kembali kepada Allah.
22 MEI
Rumah kayu itu, tempat lahirnya ibuku. Kasih sayang dicurahkan kepada ibuku. Dan hingga kini jalinan kasih sayang itu aku rasai. Hak sebagai anak telah ku perolehi. Bagaimana pula tanggung jawab yang perlu aku tunaikan?
Buat ibu tersayang-22 Mei. Selamat hari lahir buat ibu. Rasa syukur kepada Allah Berlindung dalam rahim ibu sebelum daku melihat dunia.
Labels: Kisah

Bismillahirahmaanirrohim.
Wahai saudaraku, hidup ini sungguh mencabar. Masing-masing punya ujian dan permasalahan hidup. Butuh memikirkan penyelesaian. Harap solusinya muncul melenyapkan kerunsingan.
Ingatlah, Allah Ta'ala tidak sesekali memberati hamba-Nya dengan perkara yang tidak mampu ditanggung oleh hamba-Nya.
Kita punya dua pilihan. Jalan Taqwa atau Jalan Fujur. Sila buat pilihan. Jalan Taqwa pastinya selamat. Jika tersalah langkah, berhentilah dari terus melangkah kerna nafsu dan Iblis terlalu gembira mengiring mu ke neraka jahanam. Palinglah ke belakang menuju jalan taqwa. Jangan sesekali bersedih hati, jangan putus harap. KERNA HARAPAN ITU MASIH ADA.
Allah Ta'ala Maha Pengampun.
.....kenapa kamu masih bersedih? Dosa-dosa yang berulang-ulang sesudah melafazkan kata-kata taubat? Wahai saudaraku, taubat bukan sekadar lafaz. Jgn jadikan lafaz taubatmu sebagai kata-kata dusta terhadap Penciptamu.
Wahai saudaraku, hadirkan rasa kesal dari lubuk jiwamu terhadap setiap kesalahan. Penuhilah dadamu penuh-penuh, dengan tekad dan azam untuk berhijrah. TEKAD, AZAM, KEMAHUAN, KERJA KERAS, DOA, TAWAKAL untuk BERUBAH@BERHIJRAH.
LAfazkanlah taubatmu kepada Allah Ta'ala sejujur hatimu. Biar air matamu membasahi pipimu. Biar Roqib dan 'Atid turut melihatmu. Ini urusan kau dan DIA.
Mudah-mudahan, taubatmu disambut oleh Allah Ta'ala. Mudah-mudahan kesilapanmu tidak berulang. Mengadulah pada Allah Ta'ala. Jgn putus harap........
-Cetusan rasa penulis setelah membaca artikel
'Taubat yang syaratnya gagal dipenuhi' dari Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat (sila klik di sini)

Assalamualaikum wa rahmatullahi wa barakatuh.
Wahai generasi muda-belia pejuang Allah sekalian. Adakah tersimpan di memori otak anda akan nama Ustaz Zulkifli Muhammad?
Beliau adalah TYDP Pas ketika zaman Dr.Burhanuddin Helmi menjadi Yang Dipertua Pas.
KEMALANGAN
Pada tanggal 6 Mei 1964, kereta Fiat (nombor plat: JB 9977) yang dinaiki oleh beliau bersama isteri tercinta, Ustazah Asiah Kamaruddin telah bertembung dengan sebuah land rover pada jam 7 malam di batu 4 1/2, Jalan Kuantan, Pahang. Ketika itu beliau dalam perjalanan pulang dari Bachok ke rumah ayahnya di Kuala Kangsar. Dikatakan beliau pulang dari berbincang mengenai penubuhan Yayasan Tinggi Islam Nilam Puri Kelantan dalam usaha menubuhkan Universiti Islam.
Hasil Usaha Ustaz Zulkifli Muhammad.
1. Menyuarakan melalui akhbar dan ceramah cadangan penubuhan sebuah kolej Islam sebagai asas ke arah kelahiran Universiti Islam. Pada tahun 1954, Sultan Selangor, Sultan Hishamuddin Alam Shah telah telah memperkenankan istana baginda di Klang untuk dijadikan bangunan Kolej ISlam Malaya.
2.Pada 1955, dilantik sebagai setiausaha Kolej Islam Malaya.
3. 1957, sebagai pensyarah Kesusateraan Melayu, Perundangan dan Tatanegara dan Kesusasteraan Arab.
4. 15 Julai 1957, dianugerahkan Profesor Kehormat dari Universiti Sawerigading Indonesia.
5. Pada 1960 dan 1961, dilantik sebagai Ahli Majlis Universiti MAlaya dan ahli jemaah pengurusa Sekolah Menengah Sultanah Zainab, Kota Bharu Kelantan. Pelantikan itu dibuat walaupun beliau merupakan ahli pembangkang.
6. Menulis Sebuah buku bertajuk 'Analisa Tentang Beberapa Masalah Hidup MAnusia' pada tahun 1968 diterbitkan di Pulau Pinang.
7. Dalam hal ekonomi negara, beliau aktif di dalam Gabungan Dewan Perniagaan Melayu Malaya.
8. Mencadangkan Program Rancangan Lima Tahun dan pembentukan BAnk Melayu.
9. PAda 1 Mei 1955, membentang kertas kerja bertajuk 'Preadvice Tentang Perusahaan Pengangkutan Melayu' di Persidangan Perusahaan Pengangkutan Melayu di Ipoh. Beliau mengemukakan bahawa kelemahan orang Melayu di bidang perusahaan pengangkutan akibat kekurangan modal, latihan teknik, perhubungan perniagaan dan pengalaman.
10. Mencatat sejarah sebagai ahli parlimen pertama berucap 4 jam berturut-turut. Beliau mewakili Pas di Dewan Rakyat.
11. Menjadi Presiden 'Egyptian Relief Fund Committee' ketika belajar di Mesir. Mengutuk pencerobohan Israel dll.
BERPANDANGAN JAUH: 'PAS For ALL'
Beliau pernah mencadangkan agar Pas membuka penyertaan keahlian kepada non-muslim sebagai ahli bersekutu. Beliau berpendapat bahawa Islam tidak dapat ditegakkan di negara ini tanpa sokongan non-muslim, malahan mereka turut mempunyai hak di dalam sebuah negara Islam.
PETIKAN UCAPAN DASAR MUKTAMAR PAS KE-12 (1964) DARI YDP PAS:
DR.BURHANUD
DIN AL-HELMI;
"Berpulangnya Timbalan Yang Dipertua kita yang dikasihi, Professor Zulkifli Muhammad bersama isterinya, Ustazah Asiah Kamaruddin selaku Naib Ketua Dewan Muslimat ke rahmatullah adalah satu peristiwa yang cukup mengharukan hati dan perasaan kita. Hingga saat ini, suasana suram dan sedih masih menyelubungi kita semua.
Beliau telah pergi meninggalkan kita amanat-amanat perjuangan yang tidak dapat kita lupakan. Yang tetap menjadi kenangan yang tidak kunjung padam. Beliau telah pergi sesudah beliau menunaikan tugas beliau sebagai pemimpin yang berani, jujur dan bijaksana.
Tidak hairanlah kalau kepergiannya dianggap suatu kehilangan besar oleh kawan dan lawan. Tidak hairanlah kalau Perdana Menteri Malaysia sendiri telah mensifatkan beliau sebagai pahlawan demokrasi. Parlimen Malaysia mensifatkan beliau sebagai tokoh parlimen yang payah ditandingi.
Malah Sultan Kelantan telah mengurniakan Darjah Kebesaran Al-Muhammadi Yang ke-II, sebagai mengiktiraf jasa-jasa dan kebaktian yang telah beliau berikan selama hayatnya.
Memang wajar orang besar tanahair ini berhak menerima penghargaan yang sedemikian rupa kerana kebesarannya adalah kebesaran perjuangannya.
Bagi parti kita PAS, kepergian beliau mempunyai makna yang tersendiri kerana anggapan kita terhadap kebesaran al-marhum Ustaz Zulkifli Muhammad adalah dari segi kepimpinannya selama memegang jawatan Timbalan Yang Dipertua.
Sikap keberanian dan kecekapan, ketabahan dan kejujuran, disertai oleh semangat sedia berkorban adalah di antara sifat-sifat utama yang memikat hati kita semua terhadap beliau dalam perjuangan PAS selama ini.
Kini beliau telah pergi dan kita yang tinggal akan menyambung terus perjuangan ini. Marilah kita sama-sama berdoa ke hadrat Allah SWT, semoga dihimpunkan oleh Allah, roh beliau suami isteri ke dalam himpunan para syuhadak dan mujahidin. Sambil itu marilah kita sama-sama menghadiahkan bacaan Ummul Quran, Al-Fatihah...."
-Petikan dari Buku: 1950-2000 Sejarah Kebangkitan dan Masa Depan; PAS Kuasai Malaysia?-Ibnu Hasyim, Cet. Pertama Januari 1993. GG Edar.
p/s: Pasal kemalangan tersebut ada dakwaan mengatakan ia adalah sabotaj dari pihak tertentu. Sejauhmana kebenaran? Hanya Allah Yang MAha Tahu.
ISU MOHD RIDZUAN ABDULLAH DAN KELUARGA
1. PENDAHULUAN
Isu pe
ngislaman Saudara Mohd Ridzuan Abdullah atau K Patmanathan, 40, bekas penganut Hind u, telah menimbulkan satu polemik yang perlu dinilai dari sudut Syarak terhadap beberapa isu. Isu yang akan dibincangkan di sini adalah:a- Status agama tiga orang anak beliau [ iaitu Tevi Darsiny (12 tahun), Karan Dinesh (11 tahun) dan Prasana Diksa (1 tahun). ]
b- Hak penjagaan anak.
c- Status perkahwinan selepas pengislaman.
2. STATUS AGAMA ANAK-ANAK SELEPAS SALAH SEORANG PASANGAN SUAMI ISTERI MEMELUK AGAMA ISLAM
2.1 - Pandangan Islam Terhadap Status Anak Apabila Hanya Salah Seorang Ibu Bapa Memeluk Islam.
Dalam menjelaskan status anak-anak selepas salah seorang ibu bapa memeluk Islam sedangkan pihak yang kedua tetap berada dalam agama asal, para fuqaha Islam telah berselisih pandangan kepada beberapa pandangan:
Pandangan Pertama:
Anak-anak adalah mengikut agama Islam sama ada yang memeluk Islam adalah bapa ataupun ibu.
Pandangan ini adalah pandangan yang dipegang oleh kebanyakan para fuqaha Islam daripada mazhab al-Hanafiyyah, al-Syafi`iyyah dan al-Hanabilah[1].
Maka berdasarkan kes yang berlaku, Tevi Darsiny (12 tahun), Karan Dinesh (11 tahun) dan Prasana Diksa (1 tahun) adalah diiktibar sebagai beragama Islam kerana mengikut agama yang dianuti oleh bapanya.
Hujah pandangan pertama ini adalah hadith Rasulullah yang berbunyi:
رواه البيهقي والدارقطني والروياني
Daripada A'idz bin Amr Almuzani, daripada Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda : "Islam tinggi dan tiada yang lebih tinggi daripadanya."
Pandangan Kedua:
Anak-anak adalah mengikut agama Islam apabila yang memeluk Islam adalah bapa. Sekiranya yang memeluk Islam adalah ibu, anak-anak tidak dianggap beragama Islam. Pandangan ini adalah pandangan yang dipegang oleh al-Imam Malik.
Hujah yang dipegang oleh al-Imam Malik adalah seseorang anak adalah dinasabkan kepada si ayah dan bukannya dinasabkan kepada si ibu. Maka kerana itulah keislaman si ayah sahaja yang akan menyebabkan si anak turut beragama Islam sebagai mengikut agama si ayah[2].
Maka berdasarkan kes di atas, Tevi Darsiny (12 tahun), Karan Dinesh (11 tahun) dan Prasana Diksa (1 tahun) adalah tetap diiktibar sebagai beragama Islam kerana mengikut agama yang dianuti oleh bapanya.
2.2 - Cadangan Terhadap Penyelesaian Isu Ini
Berdasarkan kajian ringkas di atas, dapatlah disimpulkan bahawa anak-anak kepada saudara Mohd Ridzuan Abdullah adalah beragama Islam kerana mengikut agama Islam yang telah dianuti oleh beliau.
Namun disebabkan pihak isteri beliau masih beragama Hindu yang berkeras untuk menjaga anak-anaknya dan membesarkannya dalam agama Hindu, semestinya kenyataan kita untuk mengekalkan status ketiga-tiga anak mereka berdua sebagai beragama Islam akan menimbulkan satu ketegangan antara masyarakat Islam dan masyarakat bukan Islam secara umumnya.
Atas dasar ingin mencari jalan yang paling baik dengan meraikan pandangan-pandangan para ulama, kami mencadangkan perkara-perkara di bawah:
a) Menerangkan kepada masyarakat di Malaysia bahawa maksud anak-anak tersebut berstatuskan agama Islam adalah mereka bertiga dianggap sebagai seorang Islam sepanjang tempoh mereka belum lagi mencapai umur baligh. Status keislaman mereka sebelum tempoh baligh akan berkait rapat dengan pembahagian harta pusaka khususnya[3].
b) Apabila anak-anak tersebut telah mencapai umur baligh, mereka akan diberikan hak untuk memilih sama ada ingin memeluk agama Islam ataupun memeluk agama Hindu. Pandangan ini adalah pandangan yang dipegang oleh al-Imam al-Thauriyy ( الثوري ) .[4]
c) Kami tidak mendapati sebarang masalah sekiranya nama ketiga-tiga anak saudara Mohd Ridzuan Abdullah dikekalkan dengan nama asal melainkan sekiranya makna nama mereka mengandungi unsur-unsur syirik dan makna-makna yang buruk.
3. HAK PENJAGAAN ANAK
3.1 - Pendapat Ulamak
Para ulama di dalam keempat-empat mazhab membincangkan tentang perkara ini . Para ulama bermazhab Syafie dan Hanbali rahimahumullah meletakkan bahawa hak penjagaan mestilah kepada seorang Islam. Orang bukan Islam tidak layak untuk mendapat hak penjagaan anak tersebut.
Manakala para ulama bermazhab Hanafi dan sebahagian ulama Maliki rahimahumullah tidak meletakkan Islam sebagai syarat untuk penjagaan. Ini bermakna jika penjaga tersebut (ibu atau bapa) salah seorang daripada mereka masih di dalam agama asal (non muslim) maka mereka masih boleh mempunyai hak untuk menjaga.
Ini berdasarkan kepada hadis Baginda Sallallahu Alaihi Wasallam yang diriwayatkan oleh al-Imam Abu Daud , al-Nasa'ie , Ibn Majah , Ahmad bin Hambal , al-Baihaqi , al-Hakim Naisaburi, Ibn Abi Syaibah rahimahumullah dan para ulama hadis yang lain . Baginda Sallallahu Alaihi Wasallam membenarkan untuk budak tersebut memilih dengan siapakah dia ingin tinggal, sama ada dengan ayahnya yang Muslim atau Ibunya yang Non-Muslimah. Ini kerana hak penjagaan adalah atas rasa belas kasihan dan ianya tidak menjadi masalah walaupun berbeza agama. Nas hadis tersebut adalah seperti berikut:
Maksud: Diriwayatkan daripada Saidina Abdul Humaid bin Salamah radhiyallahu anhuma bahawa datuknya telah memeluk Islam pada zaman Baginda Sallallahu Alaihi Wasallam, tetapi neneknya enggan. Hasil perkahwinan mereka, dikurniakan seorang anak. Mereka berdua datang mengadu kepada Baginda sallallahu alaihi wasallam (berkenaan hak penjagaan terhadap budak tersebut).
Sabda Baginda Sallallahu Alaihi Wasallam kepada mereka berdua : Jika kamu berdua mahu, budak tersebut akan diberikan pilihan untuk memilih kamu berdua. Kata Abdul Humaid bin Salamah : Si ayah diletakkan di suatu sudut, dan si ibu juga diletakkan di suatu sudut, maka budak tadi diberi pilihan . Didapati budak tersebut bergerak ke arah ibunya.Maka Baginda sallallahu alaihi wasallam berdoa: Ya Allah berikanlah hidayah kepadanya. Kata Abdul Humaid bin Salamah :Maka budak tersebut kembali kepada ayahnya (mengikut ayahnya).
Tetapi para ulama di dalam mazhab Hanafiyah dan Malikiyah berbeza pendapat pula berapa lamakah tempoh budak tersebut perlu berada di bawah penjaganya yang bukan Islam:
1) Ulama Hanafiyah berpendapat : Kanak-kanak tersebut boleh berada di bawah jagaan penjaga yang bukan Islam sehinggalah dia mampu berfikir tentang keagamaan(iaitu setelah mencapai umur 7 tahun). Hak penjagaan juga akan tamat jika budak tersebut tidak terjamin keselamatan agamanya jika berada bersama penjaga tersebut(seperti dibawa ke tempat ibadah mereka, budak tersebut mempelajari perkara berkaitan agama penjaga tersebut, diberi minum arak atau memakan makanan yang haram)
2) Ulama Malikiyah berpendapat: Kanak-kanak tersebut boleh berada di bawah jagaan penjaga yang bukan Islam tersebut sehinggalah tamat waktu hak penjagaan[6]. Tetapi penjaga tersebut perlu menjaga hak-hak penjagaan terhadap budak tersebut seperti tidak memberi makanan yang haram dan memberi minum arak kepadanya. Tetapi jika dikhuatiri akan berlaku perkara tersebut maka hak penjagaan tersebut perlulah diberikan kepada golongan Muslimin demi menjaga budak tersebut daripada kesesatan[7].
3.2 - Cadangan Terhadap Kes Yang Berlaku
1) Berdasarkan pendapat para ulama yang kita telah bincangkan, anak kepada Mohd Ridzuan bin Abdullah @ K Patmanathan, 40 tahun iaitu Tevi Darsiny (12 tahun) dan Karen Danish ( 11 tahun ) tidaklah dibenarkan untuk berada dibawah penjagaan si isteri yang enggan memeluk Islam. Ini kerana, keadaan kedua-dua anak mereka jika berada di bawah jagaan ibu sahaja dibimbangi persekitaran yang tidak baik akan mempengaruhi mereka.
2) Manakala anak yang ketiga iaitu Prasana Diksa (1 tahun), dibenarkan untuk berada di bawah jagaan si ibu (dengan syarat diadakan giliran antara ibu dan bapa) berdasarkan pendapat yang disebutkan oleh Mazhab Hanafiyah dan Malikiyah. Ini kerana Prasana Diksa masih kecil dan belum mencapai umur yang memungkinkan untuknya berfikir tentang keagamaan. Ini juga menunjukkan bahawa Islam bukanlah agama yang bersikap kuku besi yang menghalang secara semberono hak individu.
4. STATUS PERKAHWINAN SELEPAS PENGISLAMAN SALAH SEORANG SUAMI ISTERI
4.1 - Pendapat Para Ulama
Syariah Islam menetapkan, apabila seorang suami memeluk Islam, maka si isteri juga perlu diminta untuk memeluk Islam. Jika si isteri memeluk Islam di dalam tempoh ‘iddahnya, maka perkahwinan tersebut boleh diteruskan seperti biasa(tanpa perlu diperbaharui akad nikahnya).
Islam bukanlah satu agama yang memecah belahkan institusi kekeluargaan, bahkan Islam itu sendiri mengajar ummatnya untuk membina sebuah keluarga yang bahagia. Perbezaan agama antara suami dan isteri bukanlah penghalang kepada ikatan pernikahan mereka, tetapi keengganan si isteri untuk berbuat demikian menyebabkan berlakunya perpisahan [8].
Keempat-empat mazhab Islam iaitu Hanafi, Maliki, Syafie, dan Hambali menetapkan perkahwinan mereka berdua akan terfasakh[9]. Para ulamak hanya berselisih pendapat dari sudut bilakah waktu fasakh itu berlaku, samaada daripada saat pengIslaman suami atau saat isteri enggan memeluk Islam. Perpisahan tersebut akan berlaku melalui kuasa qadhi[10].
Fasakh atau perpisahan tersebut bukan bermakna si suami meninggalkan tanggungjawabnya ke atas isteri dan anak-anaknya dari sudut nafkah dan perbelanjaan. Islam sangat menjaga hak setiap manusia samaada Muslim atau Non Muslim. Perpisahan yang berlaku di antara pasangan suami isteri disebabkan perbezaan agama tidak menggugurkan kewajipan suami kepada isterinya dan anak-anaknya.
4.2 - Hak Pemberian Nafkah[11]
a - Nafkah kepada anak
Si ayah wajib memberikan nafkah dan keperluan kepada anak-anaknya selagi mana mereka masih kecil sehingga mampu berdikari sendiri jika anak tersebut adalah anak lelaki. Manakala bagi anak perempuan, bapa perlu memberi nafkah kepadanya sehingga anak tersebut berkahwin sahaja.
b - Nafkah kepada isteri
Suami wajib memberi nafkah kepada isteri tersebut selama mana di dalam tempoh ‘iddah sahaja.
Ini jelas menunjukkan hujah yang mengatakan bertukar agama adalah satu cara untuk lari daripada tanggungjawab adalah hujah yang amat dangkal. Ini kerana Islam sama sekali tidak memberikan ruang kepada penganutnya untuk lari atau cuai menunaikan tanggungjawab masing-masing.
Disediakan oleh :
Fellow MANHAL PMRAM 2009
Hasil kajian:
1. Al Fadhil Ustaz Syed Abdul Qadir Al-Jofree
2. Al Fadhil Ustaz Abd Rahman Mohd Tharin
3. Al Fadhil Ustaz Mohd Nazrul Abd Nasir
4. Al Fadhil Ustaz Hairul Nizam Mat Husain
Nota kaki :
[1] Sila lihat al-Mawsu`ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaytiyyah 4/270.
[2] Sila lihat al-Mawsu`ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaytiyyah 4/270.
[3] Sebagaimana yang dimaklumi, apabila anak-anak tersebut berstatuskan Islam, mereka berhak mewarisi harta saudara Mohd Ridzuan Abdullah kerana persamaan agama antara pihak ayah dan anak-anak. Walau bagaimanapun sekiranya anak-anak tersebut meninggal dunia sebelum mereka mencapai umur baligh, maka berdasarkan pandangan Islam jenazah mereka akan diuruskan sebagai seorang Muslim. Ini dijangka akan menimbulkan satu lagi masalah perebutan jenazah antara si isteri yang beragama Hindu dan si ayah yang beragama Islam.
[4] Sila lihat al-Mawsu`ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaytiyyah 4/271. Para pembaca perlu menyedari bahawa pandangan yang kami pilih ini bukanlah pandangan majoriti ulama Islam.
Adapun pandangan majoriti ulama Islam, anak-anak tersebut secara automatik akan menjadi seorang muslim sebaik sahaja si ayah memeluk agama Islam. Sekiranya anak-anak tersebut setelah baligh memilih untuk tidak beragama Islam, berdasarkan pandangan majoriti ulama, mereka akan menjadi murtad.
Pandangan al-Thauri yang kami pilih ini adalah semata-mata memikirkan situasi masyarakat non Muslim di Malaysia yang mungkin tidak akan dapat menerima keputusan bahawa kesemua anak-anak terbabit hendaklah beragama Islam. Sekurang-kurangnya dengan berpegang pandangan al-Thauri, masyarakat non Muslim dapat menerima keputusan kerana hak untuk memilih agama diserahkan kepada anak-anak tersebut selepas mereka baligh.
[5] Musnad al-Imam Ahmad bin Hambal, hadis 23807 jilid 5 mukasurat 446 Darul Nasyr, Muassasah Qurtubah
[6] Bagi budak perempuan, hak penjagaan terhadapnya ialah sehingga dia berkahwin, manakala bagi budak lelaki pula hak penjagaan terhadapnya ialah sehingga dia baligh.
[7] Fiqh al-Islami wa Adillatuhu jilid 7 mukasurat 727-728 cetakan Darul Fikr Cetakan Kedua 1985
[8] Bada'ie Sana'ie, Imam al-Kasani, m.s 1558 jilid 3.
[9] Mughniyul Muhtaj, Khotib as-Syarbini, m.s 244 jilid 3.
[10] Fiqhul Islami Wa Adilatuh, Dr. Wahbah Az-Zuhaili, m.s 7163 jilid 9.
[11] Al-Mughni, Imam Ibn Qudamah, m.s 402 - 409, jilid 7.
Labels: Artikel


