Jagalah Rahsia Parti


Oleh: Ustaz Idris Ahmad
(AJK PAS Pusat 2007-2009)
http://idrisahmad.wordpress.com



Apabila kita menjadi ahli maka kita telah berbaiah dengan parti bahawa kita akan patuh kepada arahan parti dan pimpinan selagi tidak bertentangan dengan Islam. Pas sebagai sebuah gerakan Islam dan dan sebagai salah sebuah parti politik yang terbesar dan menjadi kuasa pencabar kepada parti pemerintah pada hari ini.

Kedatangan Pas di arena politik dan gerakan Islam di negara ini yang mempunyai matlamat yang suci untuk mendaulatkan syariat Allah di muka bumi. Tugas ini mesti diteruskan dan Pas tidak pernah berundur selangkah dalam mencapai cita-cita murni. Maka sudah tentulah Pas merupakan halangan terbesar Umno/BN untuk mereka bermaharajalela di negara ini.

Dengan kekuatan organisasi 6332 cawangan dan ahli hampir mencecah satu juta orang yang mempunyai struktur parti yang lengkap bermula daripada Majlis Syura Ulama’, Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Dewan Ulama’, Dewan Pemuda, Dewan Muslimat, Ahli Jawatankuasa Perhubungan Negeri, Kawasan, Cawangan.

Manakala struktur parti di peringkat jentera pilihanraya yang lengkap daripada peringkat pusat sampai kepada lokaliti (kampung dan lorong) Pas mempunyai struktur yang jelas dan kemas.

Walau bagaiamana pun kehebatan ini akan hilang jika strategi dan apa yang dibincang dalam parti bocor kepada media dan juga musuh-musuh kita. Maka mereka akan melakukan tindakan dengan membaca dan memintas strategi kita dahulu. Jangan boros dengan kenyataan dan mendedahkan rahsia parti dan perkara dalaman parti kepada pengetahuan umum sehingga musuh akan memukul dan melumpuhkan parti serta menggagalkan perancangan parti.

Pemimpin bukan sahaja perlu menyusun srtrategi yang baik dan rapi tetapi ada perkara yang menjadi kerahsiaan yang tidak boleh diumumkan, adalah tidak wajar semua ahli mengetahui segala yang dirangka oleh pimpinan. Adalah tidak bijak sekiranya untuk mengumumkan semua perkara yang belum lagi menjadi satu keputusan.

Sebenarnya dalam disiplin jamaah dan orang yang dianggap melanggar disiplin jamaah yang paling berat ialah mereka mendedahkan rahsia parti dan kelemahan parti kepada orang lain atau kepada media. Kita diajar oleh Nabi SAW, jika tidak puas hati kepada jamaah dan pimpinan medan kita ialah mesyuarat, usrah, muktamar, perjumpaan tertutup, sessi muhasabah, bengkel dan apa saja program yang tidak terdedah kepada umum. Inilah medan yang terbaik untuk kita mengkritik pimpinan atau jamaah.

Bukan kita jadikan blog-blog, media untuk membelasah parti dan pimpinan sehingga mengelirukan ahli biasa dan penyokong atas pagar.
Rasa tidak puas hati semua orang ada, tetapi apabila kita bersama dengan jamaah maka kita kena pegang dengan pandangan jamaah dan keputusan jamaah. Kita sebagai ahli kena beza pandangan Majlis Syura dengan ahli Syura, pandangan Jawatankuasa Pas Pusat dengan pandangan ahli jawatankuasa Pas Pusat.

Jangan kita keliru pandangan peribadi dengan pandangan jamaah. Rasulullah yang bijaksana adalah orang yang paling banyak berbincang dengan para sahabat dalam apa-apa keputusan, walaupun baginda seorang Rasulullah yang mempunyai wahyu. Kerana jamaah itu rahmat dan berpecah itu merupakan mala petaka.

Telah menjadi tabiat kepada perjuangan Islam musuh akan menggunakan apa sahaja untuk melemahkan kita. Mereka menggunakan dengan apa cara sekalipun untuk melemahkan gerakan kita.

Terutama mereka hendak mendapat maklumat parti dan permasalahan parti. Mereka sanggup membayar untuk mendapat maklumat.

Contohnya ketika pimpinan Pas mengadakan program di Langkawi, ada kakitangan pejabatAgung telah dihubungi oleh SB yang berkeliaran di tempat pimpinan mesyuarat untuk mendapatkan kertas kerja yang dibincang dalam reatreat tersebut.


Kalau kita dengan mudah mendedahkan apa yang berlaku dalam parti kepada media bermakna kita telah memberi maklumat percuma tanpa disuruh atau dibayar. Ingatlah musuh bijak menggunakan suasana untuk mendapatkan maklumat.

Perlu diingatkan siapa yang khianat kepada parti dengan tujuan untuk merosakkan parti mereka akan ditimpa balasan di dunia ini lagi kerana Pas parti yang ahlinya mungkin disertai oleh wali dan karamah. Doa mereka ini sentiasa dimaqbul oleh Allah dan mereka yang kianat akan menerima balasan azab.

Kita jadikan media internet terutamanya untuk melebarkan jaringan pengaruh kita, bukan jadikan media sebagai menghancurkan perjuangan kita. Walaupun atas nama kebebasan untuk bersuara dan memberi pendapat, ia boleh diberikan dalam medan yang sepatutnya diberikan.

Kisah Hatib Balta’ah yang berlaku di zaman nabi SAW yang membocor rahsia perjuangan kepada musuh perlu diambil perhatian oleh kita yang berada di dalam parti. Seperti yang dicatat oleh Ibn Hisham tentang peristiwa itu.

“Apabila Rasulullah SAW menuju perjalanan ke Makkah, Hatib ibn Abi Balta’ah menulis sepucuk surat kepada orang Quraish memberitahu kepada mereka tentang persiapan dan tujuan keberangkatan Rasulullah SAW. Surat itu kemudiannya diberi kepada seorang perempuan yang dikatakan oleh Muhammad ibn Jaafar sebagai Muzainah, sedang orang lain mengatakan Sarah. Perempuan itu menyimpan surat tersebut disanggulnya. Selepas itu Rasulullah SAW memperolehi berita itu daripada langit mengenai perbuatan Hatib itu lantas baginda menghantar Saidina Ali bin Abi Talib dan az-Zubair Ibn Awwam mengejar perempuan tersebut.

Perempuan itu dapat ditangkap di kawasan Bani Abi Ahmad. Mereka berdua mencari surat tersebut tetapi tidak dijumpai. Ali kemudian berkata kepada perempuan itu bahawa Rasulullah SAW sekali-kali tidak mendustakan mereka.
Surat itu diminta oleh mereka , sekiranya perempuan itu enggan, mereka akan memeriksa seluruh tubuh perempuan tersebut. Apabila perempuan itu melihat kesungguhan Ali maka dia pun bersetuju memberi surat itu. Dia membuka sanggulnya dan mengeluarkan surat itu serta diserahkan kepada Ali .

Saidina Ali pun membawa surat itu kepada Rasulullah SAW . Rasulullah SAW memanggil Hatib dan menanyakan kenapa dia berbuat demikian. Jawab Hatib, Wahai Rasulullah SAW Demi Allah aku tetap beriman kepada Allah dan Rasulnya. Aku tidak mengubah dan bertukar (hati).

Tetapi aku dulunya tidak ada keturunan dan keluarga di kalangan kamu (Quraish). Aku masih mempunyai seorang anak dan isteri berada bersama-sama mereka; dan aku lakukan ini adalah untuk kebaikan mereka.Umar al-Khattab lantas mengatakan: Wahai Rasulullah , biarlah daku pancung lehernya kerana dia telah menjadi munafiq.

Jawab Rasulullah SAW, bagaimana kau tahu wahai Umar . Boleh jadi Allah telah merestui dan menentukan (kedudukan) para pejuang Badar yang bertempur dalam peperangan Badar. Kemudian Rasulullah SAW berkata kepada Hatib buatlah apa yang kamu suka. Sesungguhnya aku telah memaafkan kamu.

Atas perbuatan ini Allah menurunkan firmannya tentang Hatib dalam surah al-Mumtahanah:1-4,Bermaksud,

“hai orang-orang yang beriman , janganlah kamu mengambil musuhKu dan musuhmu menjadi teman-teman setia yang kamu sampaikan kepada mereka (berita-berita Muhammad), kerana rasa kasih sayang; pada hal sesungguhnya mereka telah engkar kepada kebenaran yang datang kepadamu, mereka mengusir Rasul dan (mengusir) kamu kerana kamu beriman kepada Allah, Tuhanmu.

Jika kamu benar-benar keluar untuk berjihad pada jalanKu dan mencari keredhaanKu janganlah kamu berbuat demikian. Kamu memberitahu secara rahsia berita-berita Muhammad kepada mereka kerana kasih sayang. Aku lebih mengetahui apa yang kamu sembunyikan dan apa yang kamu nyatakan. Dan barang siapa di antara kamu yang melakukannya, maka sesungguhnya dia telah tersesat dari jalan yang lurus.
Jika mereka menangkap kamu, nescaya mereka bertindak sebagai musuh bagimu dan melepaskan tangan dan lidah kepadamu dengan menyakiti (mu); dan mereka ingin supaya kamu kembali kafir . kaum kerabat dan anak-anak mu sekali-kali tidak bermanfaat bagimu pada hari kiamat. Dia akan memisahkan antara kamu. Dan Allah maha melihat apa yang kamu kerjakan.

Sesungguhnya sudah ada suri teladan yang baik bagimu pada Ibrahim dan orang-orang yang bersama dengan dia. Ketika mereka berkata kepada kaum mereka. Sesungguhnya kami berlepas daripada kamu dan dari apa yang kamu sembah selain Allah, kami ingkari (kekafiran) mu dan telah nyatakan antara kami dan kamu pemusuhan dan kebencian buat selama-lamanya sampai kamu beriman kepada Allah sahaja.
Kecuali perkataan Ibrahim kepada bapanya: “sesungguhnya aku akan memohonkan ampunan bagi kamu dan aku tidak dapat menolak sesuatu pun dari kamu akan siksaan Allah”. (Ibrahim berkata) : “Ya Tuhan kami hanya kepada engkaulah kami bertawakkal dan hanya kepada engkaulah kami bertaubat dan hanya kepada engkaulah kami kembali”


 

Blogger Template | Created by Adam Every