Sudah 45 Tahun Ustaz Zul Pergi...


Assalamualaikum wa rahmatullahi wa barakatuh.

Wahai generasi muda-belia pejuang Allah sekalian. Adakah tersimpan di memori otak anda akan nama Ustaz Zulkifli Muhammad?

Beliau adalah TYDP Pas ketika zaman Dr.Burhanuddin Helmi menjadi Yang Dipertua Pas.

KEMALANGAN

Pada tanggal 6 Mei 1964, kereta Fiat (nombor plat: JB 9977) yang dinaiki oleh beliau bersama isteri tercinta, Ustazah Asiah Kamaruddin telah bertembung dengan sebuah land rover pada jam 7 malam di batu 4 1/2, Jalan Kuantan, Pahang. Ketika itu beliau dalam perjalanan pulang dari Bachok ke rumah ayahnya di Kuala Kangsar. Dikatakan beliau pulang dari berbincang mengenai penubuhan Yayasan Tinggi Islam Nilam Puri Kelantan dalam usaha menubuhkan Universiti Islam.

Hasil Usaha Ustaz Zulkifli Muhammad.

1. Menyuarakan melalui akhbar dan ceramah cadangan penubuhan sebuah kolej Islam sebagai asas ke arah kelahiran Universiti Islam. Pada tahun 1954, Sultan Selangor, Sultan Hishamuddin Alam Shah telah telah memperkenankan istana baginda di Klang untuk dijadikan bangunan Kolej ISlam Malaya.

2.Pada 1955, dilantik sebagai setiausaha Kolej Islam Malaya.

3. 1957, sebagai pensyarah Kesusateraan Melayu, Perundangan dan Tatanegara dan Kesusasteraan Arab.

4. 15 Julai 1957, dianugerahkan Profesor Kehormat dari Universiti Sawerigading Indonesia.

5. Pada 1960 dan 1961, dilantik sebagai Ahli Majlis Universiti MAlaya dan ahli jemaah pengurusa Sekolah Menengah Sultanah Zainab, Kota Bharu Kelantan. Pelantikan itu dibuat walaupun beliau merupakan ahli pembangkang.

6. Menulis Sebuah buku bertajuk 'Analisa Tentang Beberapa Masalah Hidup MAnusia' pada tahun 1968 diterbitkan di Pulau Pinang.

7. Dalam hal ekonomi negara, beliau aktif di dalam Gabungan Dewan Perniagaan Melayu Malaya.

8. Mencadangkan Program Rancangan Lima Tahun dan pembentukan BAnk Melayu.

9. PAda 1 Mei 1955, membentang kertas kerja bertajuk 'Preadvice Tentang Perusahaan Pengangkutan Melayu' di Persidangan Perusahaan Pengangkutan Melayu di Ipoh. Beliau mengemukakan bahawa kelemahan orang Melayu di bidang perusahaan pengangkutan akibat kekurangan modal, latihan teknik, perhubungan perniagaan dan pengalaman.

10. Mencatat sejarah sebagai ahli parlimen pertama berucap 4 jam berturut-turut. Beliau mewakili Pas di Dewan Rakyat.

11. Menjadi Presiden 'Egyptian Relief Fund Committee' ketika belajar di Mesir. Mengutuk pencerobohan Israel dll.


BERPANDANGAN JAUH: 'PAS For ALL'

Beliau pernah mencadangkan agar Pas membuka penyertaan keahlian kepada non-muslim sebagai ahli bersekutu. Beliau berpendapat bahawa Islam tidak dapat ditegakkan di negara ini tanpa sokongan non-muslim, malahan mereka turut mempunyai hak di dalam sebuah negara Islam.

PETIKAN UCAPAN DASAR MUKTAMAR PAS KE-12 (1964) DARI YDP PAS:
DR.BURHANUDDIN AL-HELMI;

"Berpulangnya Timbalan Yang Dipertua kita yang dikasihi, Professor Zulkifli Muhammad bersama isterinya, Ustazah Asiah Kamaruddin selaku Naib Ketua Dewan Muslimat ke rahmatullah adalah satu peristiwa yang cukup mengharukan hati dan perasaan kita. Hingga saat ini, suasana suram dan sedih masih menyelubungi kita semua.

Beliau telah pergi meninggalkan kita amanat-amanat perjuangan yang tidak dapat kita lupakan. Yang tetap menjadi kenangan yang tidak kunjung padam. Beliau telah pergi sesudah beliau menunaikan tugas beliau sebagai pemimpin yang berani, jujur dan bijaksana.

Tidak hairanlah kalau kepergiannya dianggap suatu kehilangan besar oleh kawan dan lawan. Tidak hairanlah kalau Perdana Menteri Malaysia sendiri telah mensifatkan beliau sebagai pahlawan demokrasi. Parlimen Malaysia mensifatkan beliau sebagai tokoh parlimen yang payah ditandingi.

Malah Sultan Kelantan telah mengurniakan Darjah Kebesaran Al-Muhammadi Yang ke-II, sebagai mengiktiraf jasa-jasa dan kebaktian yang telah beliau berikan selama hayatnya.

Memang wajar orang besar tanahair ini berhak menerima penghargaan yang sedemikian rupa kerana kebesarannya adalah kebesaran perjuangannya.


Bagi parti kita PAS, kepergian beliau mempunyai makna yang tersendiri kerana anggapan kita terhadap kebesaran al-marhum Ustaz Zulkifli Muhammad adalah dari segi kepimpinannya selama memegang jawatan Timbalan Yang Dipertua.

Sikap keberanian dan kecekapan, ketabahan dan kejujuran, disertai oleh semangat sedia berkorban adalah di antara sifat-sifat utama yang memikat hati kita semua terhadap beliau dalam perjuangan PAS selama ini.

Kini beliau telah pergi dan kita yang tinggal akan menyambung terus perjuangan ini. Marilah kita sama-sama berdoa ke hadrat Allah SWT, semoga dihimpunkan oleh Allah, roh beliau suami isteri ke dalam himpunan para syuhadak dan mujahidin. Sambil itu marilah kita sama-sama menghadiahkan bacaan Ummul Quran, Al-Fatihah...."

-Petikan dari Buku: 1950-2000 Sejarah Kebangkitan dan Masa Depan; PAS Kuasai Malaysia?-Ibnu Hasyim, Cet. Pertama Januari 1993. GG Edar.

p/s: Pasal kemalangan tersebut ada dakwaan mengatakan ia adalah sabotaj dari pihak tertentu. Sejauhmana kebenaran? Hanya Allah Yang MAha Tahu.

0 Comments:

Post a Comment




 

Blogger Template | Created by Adam Every