Assalamualaikum w.b.t.h

Bagi mereka yang selalu menonton al-Jazeera (versi Bahasa Arab), pastinya sering kali memerhatikan montaj mengenai gesaan pembebasan Sami al-Hajj, iaitu, jurukamera al-Jazeera yang ditempatkan oleh Amerika Syarikat dipusat tahanan pengganas di Guantanamo, Cuba.

Montaj tersebut disiar-ulang acapkali sejak lebih 6 tahun dahulu. Hinggalah tanggal 1 Mei 2008, Sami telah dikeluarkan dari pusat tahanan Guantanamo dan dihantar ke Sudan. Beliau tiba di Sudan pada awal pagi Jumaat kelmarin, diusung keluar dari pesawat tentera udara Amerika dan dihantar terus ke hospital.

Beliau ditahanada Disember 2001 oleh perisik Pakistan berhampiran sempadan Afghanistan ketika bertugas sebagai jurukamera saluran tv Bahasa Arab al-Jazeera di Afghanistan. Terus diserahkan kepada tentera Amerika pada Januari 2002 dan dihantar ke Guantanamo.

"Saya sungguh gembira berada di Sudan, tetapi saya terlalu sedih mengingatkan saudara-saudara kita yang masih ditahan di Guantanamo. Keadaan di Guantanamo, memang terlalu teruk dan bertambah teruk setiap hari," katanya ketika berehat di katil hospital.


''Di Guantanamo...tikus-tikus 'dilayan' lebih baik berbanding manusia oleh tentera Amerika. Sedangkan di sana, terdiri daripada tahanan-tahanan dari 50 negara yang memiliki hak asasi manusia yang perlu diberikan."



Sami al-Hajj turut terkilan kerana telah lebih 7 tahun mereka (tahanan-tahanan Guantanamo), tidak dibeikan hak untuk dibicarakan di mahkamah sivil bagi mempertahankan kes mereka.


Dua orang warga Sudan yang turut dilepaskan bersama Sami al-Hajj adalah

Amir Yaakub al-Amir dan Walid Ali. Dimaklumkan, seorang tahanan warga Maghribi, Said Boujaadia, dihantar pulang ke negaranya dengan pesawat yang sama.

Kini, seramai 275 orang tahanan masih terkurung dan terseksa di Guantanamo. Menurut David Remes, peguam yang mewakili 17 tahanan, memberitahu bahawa 1 per 3 daripada jumlah baki tahanan adalah warga Yaman.

Sama-samalah kita berdoa kepada Allah agar mereka semua selamat dan diberi kekuatan rohani dan jasmani, insyaAllah.


0 Comments:

Post a Comment




 

Blogger Template | Created by Adam Every